visi.jpg

PENGGUNAAN KIT TuSeBa DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN MENULIS MURID PEMULIHAN (Abstrak)

PENGGUNAAN KIT TuSeBa DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN MENULIS MURID PEMULIHAN

Oleh:

Lajiwin @ Jovinia Kudun &  Zainab binti Hashim

IPGK Kent Tuaran, Sabah

 

ABSTRAK

 

Tulisan adalah lambang bunyi yang diwakili oleh huruf dan perkataan yang ditulis. Apabila lambang-lambang yang ditulis itu dibaca atau dibunyikan semula, maka wujudlah bahasa melalui tulisan itu. Melalui tulisan manusia melahirkan perasaan, fikiran, dan juga kemahuan mereka. Melalui tulisan juga manusia dapat melahirkan keindahan bahasa serta memberi maklumat. Namun tulisan yang tidak kemas boleh menyebabkan pembaca tidak berminat membaca terutama sekali dalam peperiksaan. Justeru, kecekapan menulis dalam pengajaran dan pembelajaran adalah penting kepada setiap murid kerana kegagalannya boleh membawa kesan negatif bukan sahaja terhadap pencapaian akademik tetapi juga keyakinan diri murid itu sendiri. Penghasilan kit TuSeBa (Tulis, Sebut, Baca) adalah bagi mencari alternatif mengatasi masalah tulisan yang tidak kemas dan sukar dibaca. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi menguji keberkesanan Kit TuSeBa dalam pengajaran tulisan untuk murid pemulihan. Kajian telah dilaksanakan ke atas 13 orang murid pemulihan di dua buah sekolah sekitar daerah Tuaran. Analisis dokumen ke atas hasil kerja murid digunakan bagi membandingkan perubahan tulisan murid sebelum dan selepas penggunaan Kit TuSeBa. Dapatan kajian menunjukkan 13 orang responden boleh menulis huruf yang diberikan dengan bentuk yang betul serta memenuhi ruang yang disediakan. Mereka juga dapat menulis huruf dengan jarak yang sekata. Walaupun terdapat beberapa kelemahan hasil tulisan, namun jika dilakukan latih tubi beberapa kali, mereka boleh menghasilkan tulisan yang cantik.