visi.jpg

WAJAH KOTA DALAM PUISI ISMAIL AWANG PIUT: ANALISIS DARI SUDUT SOSIOLOGI (Abstrak)

WAJAH KOTA DALAM PUISI ISMAIL AWANG PIUT: ANALISIS DARI SUDUT SOSIOLOGI.

Oleh:

Paridah binti Mamat

Jabatan Pengajian Melayu, IPGK Kent Tuaran

 

 

ABSTRAK

 

Kota sebagaimana terpancar dalam “Hijab Bukit Bintang” dan “Nafas Jakarta” adalah cerminan tafsiran pengarang terhadap dua buah kota yang berada di negara yang berbeza iaitu Malaysia dan Indonesia.  Penulis kedua-dua puisi ini menyelami ciri dan fungsi  kota yang sarat dengan gelagat manusia pelbagai rupa dan  berjuang untuk mendapatkan rezeki dan hidup selesa. Kepesatan pembangunan dengan longgokan teknologi yang digambarkan oleh penulis di kedua-dua kota metropolitan ini adalah bauran antara manusia dan kelengkapan asas yang tidak dapat ditolak  dan semacam pelengkap kepada kewujudan sesebuah kota.  Penulis bagaimanapun memberi gambaran yang sedikit berbeza antara  Kuala Lumpur dan Jakarta.  Penulis melihat Bukit Bintang (Kuala Lumpur) telah dibanjiri oleh budaya asing yang  menular dalam diri masyarakat tempatan maupun warga asing yang berada di kota tersebut. Penulis menggambarkan suasana malam di Bukit Bintang , dengan kepelbagaian gaya hidup penghuninya yang tidak lagi berwajah tempatan, malah orang asing yang singgah juga telah berubah rupa. Sedang gambaran kota Jakarta lebih kepada kepadatan penduduk daripada golongan atasan hingga bawahan yang tidak terkecuali berebut mencari rezeki dan penulis juga menyerlahkan budaya memberi dalam bahasa kasarnya menyogok dengan meletakkan “pemberian” seakan satu kemestian yang tidak dapat dielakkan. Ternyata kedua-dua puisi berjaya menyerlahkan tafsiran penulis terhadap kedua-dua kota dengan isu sosial masyarakat moden dan nilai kemasyarakatan dari sudut pandang penulis.  Dokumentasi sosial penulis berpandukan dua buah puisi ini, mencerminkan sosial dan budaya yang sebenarnya kerana penulis adalah perakam sudut sosiologi yang berkesan.