visi.jpg

RINAIT SEBAGAI SASTERA LISAN INSTITUSI BOBOLIAN (Abstrak)

RINAIT SEBAGAI SASTERA LISAN INSTITUSI BOBOLIAN

Oleh:

Rosalyn Gelunu. PhD

IPGK Kent, Tuaran

 

ABSTRAK

 

Sastera rakyat atau sastera lisan merupakan bentuk kesusasteraan yang terawal lahir dalam semua kebudayaan manusia. Sebelum masyarakat Melayu/peribumi mengenali huruf, sastera yang berbentuk lisan telah berkembang dengan meluas dalam masyarakat Melayu/peribumi tradisional sebagai pesan atau kesaksian yang disampaikan secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi berikutnya. Sastera lisan dalam masyarakat Kadazandusun disampaikan dalam pelbagai bentuk termasuk sundait, sudawil, tangon, susuyan  dan rinait. Richard M. Darson (1973) menyebut  tradisi  lisan  (oral tradition) sebagai folk literature (kesusasteraan rakyat).  Dalam kertas kerja ini, penyelidik akan membincangkan tentang Rinait sebagai sastera lisan dalam institusi Bobolian masyarakat Kadazandusun di Sabah. Sastera lisan rinait merupakan  cerminan hidup masyarakat Kadazandusun tradisional yang mengandungi ciri-ciri budaya asal masyarakat yakni kepercayaan dan adat resam.  Namun sastera lisan Rinait dalam masyarakat Kadazandusun merupakan milik ekslusif golongan Bobolian. Penurunan atau pewarisan Rinait hanya berlaku kepada guru (pokiira) dengan anak murid ( mokiira ) dalam kalangan Bobolian dan pelatih Bobolian. Sastera lisan merupakan media utama untuk menyalurkan tradisi itu kepada generasi berikutnya.  Dengan maksud agar tradisi itu dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang.