visi.jpg

STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA DALAM KALANGAN MURID CEMERLANG DI SEBUAH SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA (Abstrak)

STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA DALAM KALANGAN MURID CEMERLANG DI SEBUAH SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA

Oleh:

Mohamad Yazid bin Mohamad &  Zamri Mahamod

Universiti Kebangsaan Malaysia

 

ABSTRAK

 

Kajian ini bertujuan  untuk mengenal pasti strategi pembelajaran bahasa murid cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Batu 11, Cheras. Secara khususnya, kajian ini akan mengenal pasti perbezaan strategi pembelajaran bahasa mengikut jantina, tahun pembelajaran, sosioekonomi keluarga dan hubungan strategi pembelajaran bahasa dengan pencapaian akademik murid-murid. Sampel kajian terdiri daripada 291 orang murid yang dikategorikan sebagai murid cemerlang. Bagi mencapai matlamat kajian, instrumen soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat. Data kemudiannya diproses dengan menggunakan perisian komputer Program Statistical Packages for the Socisl Science(SPSS) Version 20 bagi menganalisis statistik deskriptif dan inferensi yang melibatkan analisis ujian-t, ANOVA sehala dan regresi. Hasil kajian menunjukkan murid dipengaruhi oleh semua strategi pembelajaran bahasa, namun strategi menulis sangat mempengaruhi diikuti dengan membaca, bertutur dan mendengar. Selain itu, kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara strategi pembelajaran bahasa mengikut jantina dan sosioekonomi keluarga. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahun pembelajaran murid-murid. Akhir sekali, dapatan kajian tidak menunjukkan perhubungan yang signifikan antara strategi pembelajaran bahasa terhadap pencapaian akademik murid cemerlang. Kesimpulannya, walaupun strategi pembelajaran bahasa tidak mempengaruhi pencapaian akademik, tetapi dengan strategi yang tepat dan betul membantu murid belajar dengan berkesan.