visi.jpg

WANITA DAN POLITIK DALAM NOVEL SENATOR ADILA KARYA KHADIJAH HASHIM (Abstrak)

WANITA DAN POLITIK DALAM NOVEL SENATOR ADILA KARYA KHADIJAH HASHIM

Oleh:

Mastura binti Mohamed Berawi dan Azim Normiza binti Ahmad

IPGK Raja Melewar, Seremban, N.Sembilan

 

ABSTRAK

 

Sastera dan politik tidak boleh dipisahkan. Medium politik digunakan untuk menghasilkan karya-karya sastera tidak kira dalam apa-apa bentuk sekalipun supaya mesej dapat sampai kepada khayalak yang sepatutnya mengetahui tentang sesuatu isu yang diperkatakan. Kajian ini berfokuskan peranan wanita dalam politik yang terdapat novel karya Khadijah Hashim. Kajian dijalankan menggunakan kaedah kepustakaan dengan menganalisis kandungan novel yang mengangkat wanita sebagai pemimpin dalam arena politik. Peranan Adila kepada masyarakat dan negara dapat dilihat apabila beliau ikhlas memikul tanggungjawab sebagai senator dengan penuh amanah. Beliau turut memperjuangkan isu-isu yang membabitkan kaum wanita dengan penuh berhemah. Adila yang mewakili watak wanita dalam dunia politik mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti berwawasan, berkarisma dan  berwibawa. Beliau sedar terjun ke dunia politik umpama mempertaruhkan nyawa di medan perang. Ada yang sampai ke garisan penamat dan ada yang terpaksa mengangkat bendera putih sebagai tanda menyerah kerana tidak tahan menghadapi dunia politik yang penuh cabaran. Di sinilah teguhnya hati wanita seperti Adila yang kehidupannya dalam kerjaya dan peribadi banyak dicorak oleh datuknya. Walaupun penglibatan wanita dalam bidang politik tidak serancak golongan lelaki, namun peranan wanita seperti yang ditunjukkan dalam novel ini merupakan  satu perkembangan yang amat sihat.Pesaingnya, Datuk Nazri terpaksa akur tentang karisma kepimpinan Adila dalam politik. Ketabahannya dalam mengharungi dunia politik dan pergolakan rumahtangga membuktikan bahawa wanita boleh berjaya mengatasi semua halangan yang dihadapi. Dapatan analisis kandungan novel menunjukkan walaupun wanita itu lembut wataknya, namun  kepimpinannya dalam bidang politik dapat menyumbang ke arah pembangunan negara.