visi.jpg

NOVEL-NOVEL KOMSAS TINGKATAN EMPAT : SATU ANALISIS NILAI (Abstrak)

NOVEL-NOVEL KOMSAS TINGKATAN EMPAT : SATU ANALISIS NILAI

 Oleh:
Shamsudin bin Abu Bakar, Hj.Abdul Rani bin Hassan &
Kamarul Azlan Mohd Yusoff

IPG Kampus Ipoh,Malaysia

 

ABSTRAK

 

Novel antara genre sastera yang diperkenalkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan satu hingga lima semenjak Komsas diperkenalkan di sekolah pada Mac 2000. Komsas ialah kata akronim bagi ‘Komponen sastera’ dan Komsas merupakan komponen dalam subjek bahasa Melau yang diperkenalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan untuk pelajar Tingkatan satu hingga lima di semua sekolah menengah. Pelaksanaan komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran bahasa Melayu diperkenalkan untuk merangsang pelajar supaya lebih berminat membaca bahan sastera serta menikmati, mengenal dan mengapresiasi karya sastera. Pelaksanaan Komsas ini diharap dapat melahirkan pelajar yang menghayati, mengenali dan menghargai karya sastera bagi memperkukuhkan serta meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan pelajar. Kajian ini akan melihat kesesuaian teks yang dipilih dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengungkap nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah terutamanya pelajar-pelajar Tingkatan Empat seluruh negara. Sesungguhnya falsafah ini bertujuan memberikan pendidikan di Malaysia sebagai suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Disebabkan analisis ini lebih melihat kepada aspek nilai yang ditonjolkan dalam karya maka Pendekatan Moral akan digunakan.. Oleh itu, pengkaji akan mengaplikasikan pendekatan ini sebagai suatu pembuktian bahawa karya-karya yang dipilih bagi teks novel  terbaharu tingkatan empat  mendukung falsafah pendidikan ini yang bersendikan nilai ini.