visi.jpg

MENINGKATKAN KEKEMASAN TULISAN BAGI MURID TAHUN 4 SECARA ANSUR MAJU MENGGUNAKAN KIT TSKT

Oleh

Mohd Fadhli Bin Mohd Yakof

Puan Zainab Binti Hashim

 

ABSTRAK

 

Kajian tindakan ini dijalankan untuk mengatasi masalah kekemasan tulisan bagi murid tahun 4 secara ansur maju menggunakan KIT TSKT. Tulisan memainkan peranan yang besar dalam kehidupan khasnya kanak-kanak. Mereka perlu didedahkan cara menulis yang betul agar tulisan mereka mampu difahami oleh pembaca. Melalui aktiviti menulis juga mampu meluaskan pengetahuan mereka dalam perbendaharaan kata, perkembangan bahasa dan tulisan serta membolehkan mereka mengeja perkataan dengan lebih pantas. Kajian tindakan yang telah dijalankan bertujuan untuk membantu murid tahun 4 menulis dengan lebih kemas dan teratur. Responden dalam kajian ini terdiri daripada lima orang murid tahun 4 di salah sebuah sekolah yang terletak di daerah Tuaran, Sabah. Responden tersebut mempunyai masalah tulisan yang kurang kemas dan tidak teratur. Instrumen yang telah digunakan sepanjang penyelidikan ini adalah seperti soal selidik, analisis dokumen, pemerhatian dan ujian. Data telah dikumpulkan melalui soal selidik, analisis dokumen, pemerhatian dan ujian (diagnostik dan pencapaian). Hasil dapatan kajian data mendapati bahawa semua responden berjaya memperbaiki tulisan mereka dalam ujian pencapaian berbanding ujian diagnostik. Hasil kajian telah mendapati bahawa kaedah ansur maju menggunakan KIT TSKT sangat berkesan dalam membantu murid memperbaiki tulisan mereka.