visi.jpg

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGHURAI ISI KARANGAN JENIS FAKTA DALAM KALANGAN MURID TAHUN 4 MENGGUNAKAN JADUAL AMNA

Oleh :

Norlinah Binti Rais

Zainab Binti Hashim

 

ABSTRAK

 

Kajian tindakan ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan penggunaan Jadual AMNA terhadap penguasaan kemahiran menghurai isi karangan jenis fakta. Kajian ini juga dijalankan untuk memastikan sama ada subjek kajian dapat menghurai isi karangan jenis fakta. Subjek kajian dalam kajian ini terdiri daripada 4 orang murid Tahun 4 di salah sebuah sekolah kebangsaan di daerah Tuaran, Sabah. Tinjauan awal menunjukkan bahawa subjek kajian menghadapi masalah dalam mengolah dan menghurai isi karangan jenis fakta. Pengkaji menggunakan Jadual AMNA sebagai intervensi terhadap permasalahan ini. Pengkaji menjalankan kajian bersandarkan kepada Model Penyelidikan Kurt Lewin. Pengkaji menggunakan instrumen kajian seperti pemerhatian, ujian dan juga temu bual untuk memperoleh data. Hasil analisis data ujian mendapati semua subjek kajian menunjukkan peningkatan dalam menghurai isi karangan jenis fakta. Sebelum intervensi dijalankan, subjek kajian A mendapat 12 markah, subjek kajian B mendapat 14 markah, subjek kajian C mendapat 16 markah dan subjek kajian D mendapat 11 markah. Namun, selepas intervensi, subjek kajian A memperoleh 25 markah, subjek kajian B memperoleh 24 markah, subjek kajian C memperoleh 27 markah dan subjek kajian D memperoleh 22 markah. Hasil daripada keputusan ujian ini membuktikan bahawa Jadual AMNA dapat meningkatkan prestasi dan membantu murid menghurai isi karangan jenis fakta dengan betul. Implikasi kajian ini terhadap tahap penguasaan kemahiran menghurai isi karangan jenis fakta boleh digunakan oleh guru untuk membantu murid.