visi.jpg

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGGUNAKAN HURUF BESAR PADA PERMULAAN AYAT DAN KATA NAMA KHAS MELALUI TEKNIK LATIH TUBI CamWar

Oleh

Saharia Binti Rahman

Ismail Bin Ag Piut

 

ABSTRAK

 

Penyelidikan tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran menggunakan huruf besar pada permulaan ayat dan kata nama khas dalam kalangan murid Tahun 5 melalui latih tubi CamWar (cam dan warna).  Sasaran kajian ini terdiri daripada 5 orang murid Tahun 5 di Sekolah Kebangsaan Bantayan, Tamparuli yang sering melakukan kesalahan penggunaan tanda baca, iaitu menulis huruf besar dalam penulisan.  Model Stephen Kemmis dan Mc Taggart (1988) dipilih bagi menjalankan setiap elemen seperti merancang, bertindak, memerhati dan merefleksi.  Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif manakala pengumpulan data pula melalui pemerhatian, ujian dan soal selidik.  Hasil analisis yang dijalankan mendapati bahawa kesemua responden menunjukkan peningkatan markah yang ketara dalam ujian pencapaian berbanding ujian diagnostik.  Terdapat dua orang responden telah memperoleh markah penuh dengan menunjukkan peningkatan markah yang sangat tinggi.  Pengajaran dan pembelajaran melalui teknik latih tubi menggunakan warna boleh dijadikan strategi pembelajaran yang sesuai untuk menguasai kemahiran penggunaan huruf besar pada permulaan ayat dan kata nama khas.  Teknik latih tubi CamWar ini juga dapat membantu untuk mengurangkan kesilapan dan kecuaian responden dalam kemahiran menggunakan huruf besar.