visi.jpg

KAEDAH 5W1H: PENAWAR KEENGGANAN MEMBACA (READING RELUCTANCE)

Ismail Bin Ag Piut

Jabatan Pengajian Melayu

 

ABSTRAK

 

Umum mempercayai kemahiran membaca memberi impak positif terhadap pemerolehan kemahiran mekanis, perluasan ilmu, pemantapan pemikiran serta kematangan sosial, emosi, dan rohani manusia dalam komunikasi insaniah dan ihsaniah. Namun masalah Keengganan Membaca (reading reluctance) yang ditakrifkan Ambigapathy Pandian (2000) sebagai ‘satu fenomena dalam kalangan pelajar yang dapat membaca tetapi tidak mengamalkannya’ masih ketara dalam kalangan pelajar Malaysia. Justeru, Kaedah 5W1H ilham Rudyard Kipling (1902) dirasakan antara angkubah alternatif yang boleh menyelesaikan masalah Keengganan Membaca dalam artikel ilmiah. Kajian Tindakan ini dibataskan kepada 28 Pelajar DPLI-BM Ambilan Disember 2011, IPG Kampus Kent dan digagaskan untuk mengenalpasti faktor utama Keengganan Membaca artikel ilmiah dalam kalangan pelajar, tahap peningkatan minat, kefahaman, dan prestasi pemerolehan ilmu pelajar dalam membaca artikel ilmiah melalui Kaedah 5W1H. Dalam hal ini, Gred Sistem Pemarkahan SPM 2010 dan Model Skala Penentuan Tahap Sikap (MKPTS) Daniel Katz (1966) digunakan untuk mengukur signifikasi perubahan tahap angkubah bersandar. Dapatan kajian menunjukkan Teknik Membaca, Minat, Persembahan Organisasi Teks, Tahap Kesukaran Teks, dan Sikap adalah lima faktor utama masalah Keengganan Membaca artikel ilmiah. Sementara itu, tahap MKPTS bagi peningkatan angkubah minat dan kefahaman pelajar dalam membaca artikel ilmiah melalui Kaedah 5W1H berada pada ‘Tahap Tinggi’. Manakala min skor dan gred peningkatan prestasi pemerolehan ilmu antara Ujian Pra, Ujian Semasa, dan Ujian Pasca juga amat signifikan iaitu perubahan daripada Lulus Atas (D) kepada Cemerlang Tinggi (A). Sekaligus dapatan ini menyokong dapatan kajian keberkesanan Kaedah 5W1H oleh Luo Tao dan rakan (2006) dan Narayana Rao (2011). Implikasi dapatan kajian ini menuntut agar guru bahasa Melayu menggunakan kaedah 5W1H dalam pengajaran dan pembelajaran bahan ilmiah di bilik darjah. Kajian Tindakan susulan bagi menyokong keberkesanan kaedah ini juga perlu dibuat ke atas pembacaan bahan kreatif.