visi.jpg

MASALAH DAN CABARAN PENGGUNAAN SISTEM PENGURUSAN PEMBELAJARAN DI KALANGAN PENSYARAH

Santana Rajan A/L Perumale dan Dr. Kok Boon Shiong

Jabatan Teknologi Pendidikan

 

ABSTRAK

 

Penggunaan sistem pengurusan pembelajaran terbukti dapat menyokong dan meningkatkan tahap pencapaian pelajar, terutamanya pelajar di institusi pengajian tinggi. Tinjauan lepas menunjukkan penggunaan sistem pengurusan pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran masih kurang dipraktikkan di kalangan pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru. Justeru itu, kajian ini bertujuan mengenalpasti masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pensyarah dalam penggunaan sistem pengurusan pembelajaran, myKentLMS. Seramai 17 orang pensyarah daripada jabatan-jabatan Institut Pendidikan Guru Kampus Kent dipilih secara rawak dalam kajian ini. Kaedah kuantitatif dan kualitatif diguna sebagai metodologi kajian. Borang selidik diedarkan untuk mengumpul data kuantitatif manakala temubual berstruktur dijalankan untuk mendapatkan data kualitatif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pensyarah amat berminat menggunakan myKentLMS dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Antara masalah yang sering dihadapi seperti tahap kemahiran teknologi dan maklumat yang rendah, kekurangan masa dan kemahiran dalam membangunkan respositori pembelajaran serta kekurangan latihan  mengakibatkan penggunaan myKentLMS tidak tercapai. Pensyarah perlu meningkatkan kemahiran teknologi dan maklumat dalam menghadapi cabaran globalisasi ini. Amalan mengguna sistem dan aplikasi atas talian dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat menyokong dan meningkatkan pencapaian akademik pelajar, tetapi juga telah menyediakan suatu alternatif dalam pengajaran dan pembelajaran kepada bakal guru.