SRI YANTI BINTI KAMAL

Bagi mewujudkan minat pelajar dalam pembelajaran, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh guru untuk menjadikan suasana proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok. Pendekatan gamifikasi pembelajaran atau lebih dikenali dengan Games Based Learning (GBL) merupakan salah satu pembelajaran melalui kaedah pemusatan murid yang dapat menarik minat dan menggalakkan murid dalam bidang pendidikan (Figueroa Flores; Simoes et.al. 2013). Pengajaran yang tertumpu kepada kaedah tradisional dan bersifat sehala adakalanya membosankan, tanpa disedari telah meminggirkan murid-murid yang bermasalah untuk memahami isi kandungan pengajaran yang disampaikan. Pendekatan strategi, mahupun teknik yang digunakan dalam P&P bahasa Melayu merupakan faktor penting dalam menanam keseronokan dan sifat ingin tahu dalam diri murid agar tercetusnya minat terhadap mata pelajaran ini. Pendekatan gamifikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu ini dapat menyediakan satu platform kepada murid untuk mempraktikkan kemahiran abad ke-21. Hal ini kerana pengajaran melalui kaedah gamifikasi yang berpusatkan murid dapat menyediakan persekitaran kepada murid untuk mempraktikan kemahiran-kemahiran semasa dalam perbincangan murid, menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan menjana idea dalam pembelajaran. Permainan digital yang dihasilkan ini adalah berbentuk permainan platform iaitu permainan melibatkan pergerakan watak pemain melalui landskap (biasanya dua dimensi), melompat-lompat antara platform, mengelakkan halangan dan musuh-musuh, dan mengambil harta menggunakan strategi tertentu. Permainan digital jenis platform memerlukan pemain mempunyai kemahiran koordinasi tangan dan mata serta berfikir dengan cepat.

Go to top