Muhammad Aizat Shakimi bin Mazuki

SukaGOKU merupakan salah satu inovasi baru yang saya telah hasilkan melalui perisian ‘Scratch’. Akronim  ‘SuKaGOKU’ yang bermaksud ‘Suku Kata Goku’ ini sudah tentunya menjurus kepada kaitan di antara suku kata dan juga animasi Jepun Goku daripada Dragonball. Saya mengambil inspirasi daripada animasi tersebut kerana animasi ini sangat popular khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Dari kaca mata yang lain pula,  masalah yang berlaku dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bukan sesuatu yang asing dalam dunia pendidikan. Terdapat ramai murid yang tidak dapat membatangkan suku kata dengan tepat. Mereka ini perlu diberikan perhatian dengan menggunakan teknik dan kaedah yang menarik untuk membantu mereka. Keadaan yang berlaku sebelum inovasi ini dihasilkan adalah seperti murid kurang faham dan kurang mempunyai daya ingatan yang baik khususnya ketika mengeja sesuatu perkataan. Antara proses yang terlibat dalam inovasi adalah murid diberi pilihan dua jenis soalan suku kata iaitu Suku Kata 1 dan Suku Kata 2. Kedua-dua soalan ini mengandungi lima soalan suku kata. Murid diberi dua kali percubaan dalam satu soalan. Jika murid salah pada percubaan yang pertama, murid boleh menekan pada gambar suku kata itu dan kemudiannya akan ada suara yang membunyikan suku kata. Selepas murid cuba dan menggunakan inovasi ini, mereka sudah tentunya akan berasa teruja dan dapat belajar dengan efektif kerana permainan seperti ini dapat memotivasikan dan mengubah persepsi bahawa pembelajaran itu bosan. Antara faedah lain dalam inovasi ini, murid bukan sahaja dapat bermain, malah terdapat satu pilihan di mana murid-murid boleh bermain permainan animasi Dragonball di dalam Scratch tersebut. Perisian yang tidak memerlukan saiz storan yang besar juga merupakan salah satu kelebihan dalam inovasi ini. Kos yang diperlukan adalah percuma kerana perisian ini tidak memerlukan apa-apa bayaran.

Go to top