Nur Farhain Aqielah binti Mohd Amin

ABSTRAK

Penyelesaian masalah matematik merupakan satu kemahiran yang penting dalam pembelajaran matematik di sekolah rendah. Namun begitu, murid kerap kali menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti cara murid menyelesaikan masalah bahagi berdasarkan model polya. Kajian kes ini telah dijalankan ke atas empat orang murid dari Tahun Lima. Setiap fasa penyelesaian masalah dalam Model Polya diteliti melalui kaedah temu duga klinikal. Sebanyak dua tugasan yang terdiri daripada penyelesaian masalah bahagi dengan konsep perkongsian dan penolakan berulang diberikan kepada setiap murid. Analisis dapatan dibuat ke atas setiap kes dan merentas kes. Hasil kajian mendapati murid memahami masalah melalui strategi pemahaman frasa iaitu mengenal pasti maklumat dan kata kunci dengan membaca masalah secara berulang kali serta mengenal pasti arahan daripada soalan. Dapatan juga menunjukkan sebahagian besar murid merancang strategi dengan membina ayat matematik. Hasil kajian mendapati murid tidak dapat menggambarkan konsep perkongsian dan penolakan berulang melalui pembinaan gambar rajah. Seterusnya, dalam fasa melaksana strategi, kesemua murid menggunakan algoritma bentuk lazim untuk menyelesaikan masalah. Selain itu, sebahagian besar murid mengira semula secara mental semasa fasa semakan semula. Terdapat individu yang menggunakan operasi songsang seperti darab untuk menyemak semula tetapi tidak dapat hasil jawapan yang sama kerana pemilihan nilai yang salah. Justeru kajian lanjut adalah wajar untuk dilaksanakan untuk membantu murid mengatasi kesukaran mereka semasa menyelesaikan masalah bahagi.

Go to top