Nabilah Syafawati Binti Sapari

ABSTRAK

Kemahiran membaca untuk memahami soalan adalah penting semasa proses penaakulan dan penyelesaian masalah matematik berayat. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran murid Tahun 3 dalam menyelesaikan masalah matematik berayat dengan penggunaan kaedah CUBES. Kajian tindakan dijalankan ke atas enam orang peserta yang terdiri daripada empat orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan dari sebuah sekolah di daerah Kota Kinabalu, Sabah. Melalui pemerhatian dan analisis dokumen, peserta kajian dikenal pasti mengalami masalah untuk menyelesaikan masalah matematik berayat kerana tidak membaca dan tidak memahami soalan serta menentukan operasi matematik yang perlu digunakan sewaktu menyelesaikan soalan. Kaedah CUBES (Circle the numbers, Underline the question, Box the keywords, Evaluate, Solve and Check) diperkenalkan untuk membantu murid menganalisis nombor, soalan dan kata kunci sebelum menentukan operasi matematik yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Instrumen analisis dokumen ujian pra, ujian pasca, temu bual, pemerhatian dan senarai semak digunakan dan dianalisis secara kualitatif dan kuantitatif. Dapatan menunjukkan peserta tidak mahir membaca soalan, tidak memahami maksud dan kehendak soalan dan menentukan operasi yang bersesuaian. Kaedah CUBES dapat meningkatkan kemahiran murid menyelesaikan masalah matematik berayat secara sistematik selepas peserta memahami soalan yang diberikan. Implikasi kajian turut dibincangkan.

Go to top